Friday, 3 February 2012
Bertanya punca ilmu
Pada 3 Feb 2012, saya membeli buku “Start Where You Are”, karya Chris Gardner (2011), versi terjemahan PTS Professional Publishing Sdn Bhd, buku setebal 356 halaman itu cuba saya tekuni dari awal.
Pada bahagian yang bertajuk “Prolog – Marilah Masuk” saya sudah mula terkesima (terpegun) dengan para pertamanya yang tertulis, “Saya sukakan soalan. Pernah dulu ketika saya masih muda, saya kurang menghargai betapa besarnya pengaruh soalan, terutama apabila soalan itu ditanya oleh seseorang pada waktu yang kena pada masanya. Namun, sepanjang waktu ini, semakin saya membebaskan ego saya, saya menjadi semakin berani bertanya. Saya juga bertambah berani mempraktikkan jawapan yang diterima itu”. Chris Gardner memulakan kisahnya dengan suatu tema yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu bertanya.
Kaedah bertanya sering digunakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quraan melalui pertanyaan, “Apakah kamu tidak berfikir?”, “Apakah kamu tidak mengetahui?”, dan sebagainya dalam bentuk soalan. Saya sangat yakin bahwa kaedah bertanya (atau menyoal) ini sangat efektif dalam proses menggali ilmu dan juga dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya masih ingat ketika di sekolah menengah dan juga di universiti, saya dan kawan-kawan menggunakan soalan-soalan tahun-tahun yang lepas bagi menilai kemampuan kami menjawab soalan sebelum ujian besar, ternyata kaedah ini sangat membantu.
Socrates dan Aristotle, dua filosuf Greek yang ternama juga menggunakan kaedah bertanya bagi mendapatkan ilmu dan juga bagi menyebarkan ilmu di kalangan murid-murid mereka. Saya hampir pasti bahwa setiap soalan yang dilontarkan akan menggetarkan fikiran, kestabilan fikiran akan sedikit terganggu pada awalnya apabila soalan yang diajukan itu kita tidak mempunyai jawapannya. Dalam pendidikan ini dinamakan “homeostasis”, suatu keadaan ketidakstabilan fikiran yang nantinya keadaan itu akan berusaha mencari kestabilan melalui jawapan yang sesuai. Akibat daripada timbulnya soalan, otak kita akan diaktifkan untuk mencari jawapan sehingga kita merasakan bahwa setiap soalan akan mengaktifkan kotak fikiran seseorang.
Pengalaman saya mengajar di beberapa buah universiti menampakkan tren mahasiswa yang sangat kurang bertanya terutama mahasiswa Melayu. Mulut mereka seolah-olah terkunci dan pensyarah yang membuka ruang bertanya akhirnya merasa hampa kerana terpaksa menutup sesi bertanya tanpa sebarang pertanyaan. Biasanya mahasiswa yang kurang bertanya, markah akhirnya pun menunjukkan tren yang sama iaitu kurang daripada mahasiswa yang suka bertanya.
Selain fungsi bertanya sebagai refleksi ingatan kita, bertanya juga akan menjuruskan kita kepada ilmu baru kerana pada masa kita bertanya mungkin belum ada jawapan atau jawapan yang kita ada tidak lengkap, namun bermula dari bertanya fikiran kita akan terus berfikir, mencari dan menggali sehingga kita menemukan jawapan yang logic. Dalam Al-Qur’an pun disebut, bertanyalah kepada yang lebih tahu sekiranya kita tidak mengetahui tentang sesuatu. Melalui kaedah bertanya proses mencari ilmu akan menjadi lebih mudah.
Kita boleh mengguna Jadual FILA untuk menyelidik sesuatu yang kita tidak tahu. FILA ialah singkatan untuk Facts, Ideas, Learning_Issues, dan Actions. Setiap kata kunci itu akan berada pada baris horizontal dan menjadi kepala bagi setiap kolum. Di dalam kolum masing-masing itu dijanakan apakah Facts dalam persoalan yang dicari jawapanya, apakah Ideas bagi meneyelesaikan persoalan itu, apakah Learning_Issues yang perlu ditangani bagi mendapatkan jawapan dan apakah Actions (tindakan) yang perlu dibuat misalnya ke perpustakaan, bertanya pakar atau membaca buku. Apabila Jadual FILA itu lengkap akhirnya kita mendapat jawapan terhadap persoalan yang kita cari itu. Biasanya kaedah FILA ini digunakan secara berkumpulan.
Adalah menjadi harapan kita agar generasi muda Melayu khususnya dapat menggunakan kaedah bertanya atau menyoal sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan pencapaian pelajar Melayu khususnya dalam pendidikan dan sekaligus akan mencerahkan kehidupan mereka menghadapi hidup ini kerana melalui kemahiran menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi akan membantu mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna dan tamadun Ilmu yang lebih merata.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 3 Feb 2012.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment