Tuesday 21 February 2012

Mencari dan mengekalkan minat

Jika saya ditanya, “kenapa pada umur anda memasuki siri 60an masih ingin mengajar dan menyelidik?”. Jawapan yang terlintas dalam hati saya ialah kerana minat. Minat untuk mengetahui perlukan penyelidikan, pembacaan, perbincangan, pemerhatian, perjalanan dan pemikiran. Bila minat ini akan berhenti? Jika Allah panggil pulang. Itulah terlintas pada fikiran saya ketika dini hari mulai menulis artikel ini.

Sejak kecil memang saya selalu “ingin tahu” dalam segala perkara, kadang-kadang saya mencuri dengar perbualan orang tua-tua secara tidak disedari, namun ketika mereka menyedari kehadiran saya, telinga saya ditarik dan disuruh pergi. Namun minat “ingin tahu” itu tetap membara.

Kenapa sesuatu minat itu kekal dari kecil hingga tua? Minat mendatangkan kepuasan diri dan antara minat dan puas itu saling melengkapi, seperti suatu ganjaran. Kita lakukan apa yang kita minat dan kita mendapat kepuasan diri kerana melakukan itu.

Saya yakin setiap pembaca mempunyai minat tertentu. Minat yang menjurus kepada kebaikan, keadilan, kesaksamaan, keuntungan, rasa puas dan sebagainya. Jangan sekali-kali melayan minat yang menjurus kepada kezaliman, permusuhan, kedengkian, kemusnahan dan segala yang negatif.

Jika anda ketika ini belum punya minat, jangan khuatir, saya mengambil iktibar daripada Chris Gardner (2011) melalui bukunya, “Start Where You Are”. Ada satu hadith yang menggambarkan jika di tangan kita ada sebiji benih dan ketika itu keadaan akan berlaku kiamat, maka sabda Nabi Muhammad S.A.W. tanamlah.

“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)

Iktibarnya, berbuat kebaikan itu tidak bergantung kepada bila, berapa umur kita, dan di mana kita berada. Lakukan saja kebaikan.

Kita ingin minat itu kekal berada dengan kita sehingga kita dipanggil pulang oleh Allah, maka salah satu ciri minat itu adalah berpahala dan diredhai Allah. Juga, mungkin minat itu secara terus mendapat rezeki daripadanya secara halal. Minat itu menuju dan berada di jalan Allah supaya apa yang kita lakukan itu tidak sia-sia.

Saya ingin mengajak setiap pembaca tanpa mengira umur dan keadaan ekonomi agar mempunyai minat yang sesuai dengan kemampuan masing-masing, minat yang mendatangkan pahala, minat yang akan kekal lama, minat yang akan menyelamatkan kita di tempat kembali yang kekal di akhirat nanti, kerana menurut hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan baginya.” Berdasarkan hadith itu, yang kekal hingga ke akhirat ialah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan.

Dalam kontek artikel ini yang ingin saya tekankan ialah “ilmu yang bermanfaat”. Ilmu boleh hadir dalam berbagai bentuk seperti teori tentang sesuatu, metodologi mengenai sesuatu proses, dan sebagainya. Ulama-ulama silam seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Taimiyah, Ibnu Al-Haitham, Al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan lain-lain telah menyediakan jalan kepada pemertabatan ilmu, jangan difikirkan sangat tentang habuan kewangan tetapi fikirkanlah pahala yang akan terus mengalir jika ilmu kita terus digunakan manusia untuk kebaikan.

Alat utama semua itu ialah akal, dengan berpandukan Al-Quraan dan Hadith, akal dapat menjana idea, dan idea-idea yang baik jika dijelmakan menjadi sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada ummat sejagat akan kekal menjadi saham kita di akhirat. Kita bermohon kepada Allah agar akal kita senentiasa memikirkan yang baik dan bermanfaat kepada manusia lain. Akal kita tetap sihat dan bertenaga, fikir dan zikir akan menjernihkan akal dan menjadi makanan kepada akal untuk terus berfungsi dengan baik.

Minatlah apa yang kita lakukan, dan lakukan apa yang kita minati.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 22 Feb 2012.

Sunday 19 February 2012

Lima Belas Soalan Membina Pernyataan Misi Hidup



Senarai soalan berikut dapat membantu menzahirkan apakah tujuan hidup kita, soalan-soalan ini bertujuan sebagai panduan mendapatkan kerangka pemikiran yang akan mentakrifkan misi pribadi kita dalam hidup ini.


Caranya mudah saja, iaitu:
  1. Sediakan beberapa helai kertas kosong dan pen atau pensil.
  2. Carilah tempat yang anda tidak akan terganggu. Matikan telefon bimbit anda.
  3. Tuliskan jawapan kepada setiap soalan berikut. Tulislah apa saja yang pertama muncul dalam minda anda. Tulis saja jangan edit. Gunakan bentuk point saja, jangan buat essei pula. Penting untuk menulis saja jawapan anda daripada memikirkan jawapan itu.
  4. Tulis dengan cepat. Ambil masa kurang daripada 60 saat tiap soalan. Kalau boleh kurang daripada 30 saat.
  5. Bersikap jujur. Tiada siapa pun yang akan membacanya. Sangat penting menulis saja tanpa editing.
  6. Bergembiralah semasa anda melakukan ini dan senyum apabila anda menulis jawapannya, jangan tension.
Lima belas soalan ini saya perolehi daripada tulisan Tina Su, seorang usahawan Berjaya yang akhirnya ingin berbuat sesuatu kepada masyarakat mengikut apa yang beliau boleh sumbangkan bagi memenuhi beberapa impian beliau untuk kebaikan sejagat. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:
  1. Apakah yang membuat anda tersenyum? (Kegiatan, manusia, kejadian, hobi, projek dan lain-lain)
  2. Apakah yang anda suka lakukan pada masa lalu? Apakah yang anda suka lakukan sekarang?
  3. Apakah kegiatan yang tidak dapat dicapai kerana kekurangan masa?
  4. Apakah yang membuat anda bangga dengan diri anda?
  5. Siapakah yang paling memberikan inspirasi kepada anda? (Sesiapa yang anda tahu atau anda tidak tahu. Keluarga, kawan, penulis, seniman, pemimpin, etc.) Kualiti apakah dalam setiap mereka itu yang memberi inspirasi kepada anda?
  6. Apakah bakat semulajadi anda? (Kemahiran, kebolehan, pemberian tuhan, etc.)
  7. Apakah yang selalu orang lain minta pertolongan anda (jenis permintaan)?
  8. Jika anda ingin mengajar sesuatu, apakah yang anda suka mengajar?
  9. Apakah yang anda sesali tidak berbuat sepenuhnya, tidak mendapat atau tidak punyai dalam hidup ini?
  10. Bayangkan anda sekarang berumur 90 tahun, duduk atas sebuah kursi goyang di beranda sebuah bungalo; anda dapat merasai tiupan angin sepoi-poi bahasa menerpa ke wajah anda. Anda sungguh tenang dan bahagia, gembira dengan kehidupan hebat yang telah tuhan kurniakan kepada anda. Menyusuri kembali hidup anda dan apa yang telah anda capai dan dapat, semua hubungan persahabatan yang telah anda bina; apakah yang menjadi masalah penting anda sekarang? Senaraikan semuannya.
  11. Apakah nilai hidup anda yang terdalam? Pilih tiga (3) hingga enam (6) dan berikan keutamaan mengikut anda.
  12. Apakah cabaran, kesukaran dan kepayahan yang anda sudah berhasil lalui atau dalam proses mengatasinya? Bagaimanakah anda melakukannya?
  13. Apakah kegiatan atau tujuan tertentu untuk melakukan sesuatu yang anda sangat yakin melakukannya? Ingin dikaitkan dengan? (kerja-kerja kebajikan atau bantuan kepada yang lain).
  14. Jika anda dapat menyampaikan suatu pesanan kepada sekumpulan besar manusia. Siapakah mereka itu? Apakah mesej yang ingin anda sampaikan?
  15. Sekiranya anda mempunyai bakat, keinginan yang kuat (passions) dan nilai murni. Bagaimanakah anda menggunakan sumber-sumber ini bagi memberi khidmat, membantu, menyumbang? ( kepada manusia, sesiapa saja, tujuan tertentu, organisasi, persekitaran, planet, etc.)
Pernyataan Misi Pribadi Anda “Menulis atau menyemak pernyataan misi merubah anda kerana ianya akan memaksa anda berfikir mengenai keutamaan secara mendalam, dengan berhati-hati, dengan tersangat cermat, dan menyelaraskan dengan dasar kepercayaan kita” (Steven Covey, 7 habits of Highly Effective People). Pernyataan misi mempunyai tiga (3) bahagian, iaitu:
  • Apakah yang ingin saya lakukan?
  • Siapakah yang akan saya bantu?
  • Apakah hasilnya? Apakah nilai murni yang akan saya ciptakan?

Langkah mencipta Pernyataan Misi Pribadi Anda:

1. Lakukan latihan menjawab 15 soalan di atas secepat yang mungkin.

2. Senaraikan perkataan tindakan (actions words) yang menyentuh minat anda. Contohnya, mendidik, mencapai, memberi kuasa (empower), menggalakkan, memperbaiki (improve), membantu, memberi, memandu, menginspirasi, menyepadukan, menguasai, memotivasi, menumbuhkan (nurture), menyusun (organize), menghasilkan (produce), mempromosi (promote), mengembara (travel), menyebar (dahwah), berkongsi (share), memuaskan (satisfy), memahami (understand), mengajar (teach), menulis (write), etc.

3. Berdasarkan jawapan terhadap 15 soalan. Senaraikan semuanya dan setiap orang yang anda percaya dapat membantu anda, contohnya manusia, makhluk, organisasi, tujuan tertentu (causes), kumpulan, persekitaran, etc.

4. Kenalpasti sasaran akhira anda. Bagaimanakah “sesiapa” dalam jawapan anda yang akan mendapat manfaat dengan apa yang akan lakukan?

5. Gabungkan langkah 2 hingga 4 ke dalam satau ayat, atau 2 atau 3 ayat.
Apakah tujuan anda? Apakah misi anda? Nyatakan dengan jelas. Langkah 5 di atas menyatakan Misi Pribadi Anda.

Bagi kita sebagai seorang Muslim yang komited, menyebarkan salam dan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah menjadi misi utama kehidupan kita. Lebihkan member (giving) daripada meminta(asking). Lebihkan sumbangan daripada menerima sumbangan.
Selamat mencuba dan berbahagialah dengan misi anda.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 20 Feb 2012.

Friday 3 February 2012

Bertanya punca ilmu


Pada 3 Feb 2012, saya membeli buku “Start Where You Are”, karya Chris Gardner (2011), versi terjemahan PTS Professional Publishing Sdn Bhd, buku setebal 356 halaman itu cuba saya tekuni dari awal.

Pada bahagian yang bertajuk “Prolog – Marilah Masuk” saya sudah mula terkesima (terpegun) dengan para pertamanya yang tertulis, “Saya sukakan soalan. Pernah dulu ketika saya masih muda, saya kurang menghargai betapa besarnya pengaruh soalan, terutama apabila soalan itu ditanya oleh seseorang pada waktu yang kena pada masanya. Namun, sepanjang waktu ini, semakin saya membebaskan ego saya, saya menjadi semakin berani bertanya. Saya juga bertambah berani mempraktikkan jawapan yang diterima itu”. Chris Gardner memulakan kisahnya dengan suatu tema yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu bertanya.

Kaedah bertanya sering digunakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quraan melalui pertanyaan, “Apakah kamu tidak berfikir?”, “Apakah kamu tidak mengetahui?”, dan sebagainya dalam bentuk soalan. Saya sangat yakin bahwa kaedah bertanya (atau menyoal) ini sangat efektif dalam proses menggali ilmu dan juga dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya masih ingat ketika di sekolah menengah dan juga di universiti, saya dan kawan-kawan menggunakan soalan-soalan tahun-tahun yang lepas bagi menilai kemampuan kami menjawab soalan sebelum ujian besar, ternyata kaedah ini sangat membantu.

Socrates dan Aristotle, dua filosuf Greek yang ternama juga menggunakan kaedah bertanya bagi mendapatkan ilmu dan juga bagi menyebarkan ilmu di kalangan murid-murid mereka. Saya hampir pasti bahwa setiap soalan yang dilontarkan akan menggetarkan fikiran, kestabilan fikiran akan sedikit terganggu pada awalnya apabila soalan yang diajukan itu kita tidak mempunyai jawapannya. Dalam pendidikan ini dinamakan “homeostasis”, suatu keadaan ketidakstabilan fikiran yang nantinya keadaan itu akan berusaha mencari kestabilan melalui jawapan yang sesuai. Akibat daripada timbulnya soalan, otak kita akan diaktifkan untuk mencari jawapan sehingga kita merasakan bahwa setiap soalan akan mengaktifkan kotak fikiran seseorang.

Pengalaman saya mengajar di beberapa buah universiti menampakkan tren mahasiswa yang sangat kurang bertanya terutama mahasiswa Melayu. Mulut mereka seolah-olah terkunci dan pensyarah yang membuka ruang bertanya akhirnya merasa hampa kerana terpaksa menutup sesi bertanya tanpa sebarang pertanyaan. Biasanya mahasiswa yang kurang bertanya, markah akhirnya pun menunjukkan tren yang sama iaitu kurang daripada mahasiswa yang suka bertanya.

Selain fungsi bertanya sebagai refleksi ingatan kita, bertanya juga akan menjuruskan kita kepada ilmu baru kerana pada masa kita bertanya mungkin belum ada jawapan atau jawapan yang kita ada tidak lengkap, namun bermula dari bertanya fikiran kita akan terus berfikir, mencari dan menggali sehingga kita menemukan jawapan yang logic. Dalam Al-Qur’an pun disebut, bertanyalah kepada yang lebih tahu sekiranya kita tidak mengetahui tentang sesuatu. Melalui kaedah bertanya proses mencari ilmu akan menjadi lebih mudah.

Kita boleh mengguna Jadual FILA untuk menyelidik sesuatu yang kita tidak tahu. FILA ialah singkatan untuk Facts, Ideas, Learning_Issues, dan Actions. Setiap kata kunci itu akan berada pada baris horizontal dan menjadi kepala bagi setiap kolum. Di dalam kolum masing-masing itu dijanakan apakah Facts dalam persoalan yang dicari jawapanya, apakah Ideas bagi meneyelesaikan persoalan itu, apakah Learning_Issues yang perlu ditangani bagi mendapatkan jawapan dan apakah Actions (tindakan) yang perlu dibuat misalnya ke perpustakaan, bertanya pakar atau membaca buku. Apabila Jadual FILA itu lengkap akhirnya kita mendapat jawapan terhadap persoalan yang kita cari itu. Biasanya kaedah FILA ini digunakan secara berkumpulan.

Adalah menjadi harapan kita agar generasi muda Melayu khususnya dapat menggunakan kaedah bertanya atau menyoal sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan pencapaian pelajar Melayu khususnya dalam pendidikan dan sekaligus akan mencerahkan kehidupan mereka menghadapi hidup ini kerana melalui kemahiran menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi akan membantu mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna dan tamadun Ilmu yang lebih merata.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 3 Feb 2012.