Jika saya ditanya, “kenapa pada umur anda memasuki siri 60an masih ingin mengajar dan menyelidik?”. Jawapan yang terlintas dalam hati saya ialah kerana minat. Minat untuk mengetahui perlukan penyelidikan, pembacaan, perbincangan, pemerhatian, perjalanan dan pemikiran. Bila minat ini akan berhenti? Jika Allah panggil pulang. Itulah terlintas pada fikiran saya ketika dini hari mulai menulis artikel ini.
Sejak kecil memang saya selalu “ingin tahu” dalam segala perkara, kadang-kadang saya mencuri dengar perbualan orang tua-tua secara tidak disedari, namun ketika mereka menyedari kehadiran saya, telinga saya ditarik dan disuruh pergi. Namun minat “ingin tahu” itu tetap membara.
Kenapa sesuatu minat itu kekal dari kecil hingga tua? Minat mendatangkan kepuasan diri dan antara minat dan puas itu saling melengkapi, seperti suatu ganjaran. Kita lakukan apa yang kita minat dan kita mendapat kepuasan diri kerana melakukan itu.
Saya yakin setiap pembaca mempunyai minat tertentu. Minat yang menjurus kepada kebaikan, keadilan, kesaksamaan, keuntungan, rasa puas dan sebagainya. Jangan sekali-kali melayan minat yang menjurus kepada kezaliman, permusuhan, kedengkian, kemusnahan dan segala yang negatif.
Jika anda ketika ini belum punya minat, jangan khuatir, saya mengambil iktibar daripada Chris Gardner (2011) melalui bukunya, “Start Where You Are”. Ada satu hadith yang menggambarkan jika di tangan kita ada sebiji benih dan ketika itu keadaan akan berlaku kiamat, maka sabda Nabi Muhammad S.A.W. tanamlah.
“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)
Iktibarnya, berbuat kebaikan itu tidak bergantung kepada bila, berapa umur kita, dan di mana kita berada. Lakukan saja kebaikan.
Kita ingin minat itu kekal berada dengan kita sehingga kita dipanggil pulang oleh Allah, maka salah satu ciri minat itu adalah berpahala dan diredhai Allah. Juga, mungkin minat itu secara terus mendapat rezeki daripadanya secara halal. Minat itu menuju dan berada di jalan Allah supaya apa yang kita lakukan itu tidak sia-sia.
Saya ingin mengajak setiap pembaca tanpa mengira umur dan keadaan ekonomi agar mempunyai minat yang sesuai dengan kemampuan masing-masing, minat yang mendatangkan pahala, minat yang akan kekal lama, minat yang akan menyelamatkan kita di tempat kembali yang kekal di akhirat nanti, kerana menurut hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan baginya.” Berdasarkan hadith itu, yang kekal hingga ke akhirat ialah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan.
Dalam kontek artikel ini yang ingin saya tekankan ialah “ilmu yang bermanfaat”. Ilmu boleh hadir dalam berbagai bentuk seperti teori tentang sesuatu, metodologi mengenai sesuatu proses, dan sebagainya. Ulama-ulama silam seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Taimiyah, Ibnu Al-Haitham, Al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan lain-lain telah menyediakan jalan kepada pemertabatan ilmu, jangan difikirkan sangat tentang habuan kewangan tetapi fikirkanlah pahala yang akan terus mengalir jika ilmu kita terus digunakan manusia untuk kebaikan.
Alat utama semua itu ialah akal, dengan berpandukan Al-Quraan dan Hadith, akal dapat menjana idea, dan idea-idea yang baik jika dijelmakan menjadi sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada ummat sejagat akan kekal menjadi saham kita di akhirat. Kita bermohon kepada Allah agar akal kita senentiasa memikirkan yang baik dan bermanfaat kepada manusia lain. Akal kita tetap sihat dan bertenaga, fikir dan zikir akan menjernihkan akal dan menjadi makanan kepada akal untuk terus berfungsi dengan baik.
Minatlah apa yang kita lakukan, dan lakukan apa yang kita minati.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 22 Feb 2012.
No comments:
Post a Comment