Tuesday, 23 August 2011

Menetapkan haluan sendiri berdasarkan ilmu


Zaman akhir-akhir ini ramai manusia yang terkeliru. Mereka terkeliru dalam berbagai-bagai aspek. Ada yang terkeliru memilih pasangan hidup. Diharapkan yang sesuai namun beberapa ketika kemudian bercerai berai. Terkeliru memilih kerjaya dan akhirnya kecundang. Keliru merupakan satu istilah yang menggambarkan “ketidakpastian” seseorang dalam membuat pilihan. Kekeliruan ini timbul kerana kurangnya ilmu pengetahuan.

“…. Janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan (lagi) menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Al-Kahfi (18), ayat 28).

Kita dilarang mengikuti orang yang Allah lalaikan dari mengingatiNya dan mereka yang menurut hawa nafsu. Jelas sekali ayat di atas memberikan kita panduan untuk mengambil Al-Quraan dan Hadith sebagai panduan selama-lamanya dan mereka yang tidak berpegang kepada dua sumber itu tidak boleh diikuti. Kemudian ada satu syarat lagi sesudahnya iaitu “dan (lagi) menurut hawa nafsunya”. Juga mereka yang menurut hawa nafsu walau pun mereka mendakwa mengikuti kedua-dua sumber tersebut di atas.

Pertimbangan kita mestilah mempunyai dasar Al-Quraan, Al-Hadith shoheh, ijmak ulama dan menggunakan akal yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Jika kita mengambil keputusan berdasarkan fakta-fakta di atas, maka Insya Allah kita akan terhindar dari kekeliruan.

Ada berbagai cara mencari ilmu antaranya yang paling mudah ialah bertanya kepada yang berilmu (Al-Anbiyaa, ayat 7). Pernah pada suatu ketika dalam suatu ceramah seorang Ustaz ditanya tentang berapa keping roti canai dapat dihasilkan daripada satu kilogram tepung gandung. Ustaz meminta izin beberapa minit dan turun ke tingkat bawah dewan ceramah dan bertanya kepada restoran di tingkat bawah tempat beliau berceramah mengenai hal di atas. Akhirnya Ustaz dapat menjawab dengan yakin sebab dia telah bertanya kepada pakar pembuat roti canai.

Cara lain mencari ilmu ialah dengan membaca, membuat penelitian, mengkaji sendiri, membuat observasi dan sebagainya. Pada 17 Ogos 2011 yang lalu yang bertepatan dengan hari Nuzul Al-Quraan, Hari Kemerdekaan Indonesia, anak saya Dr Abdul Jabbar mendapat anak kembar. Dinamakan Adam dan Ahmad. Saya memperhatikan beliau begitu sibuk mengamati perkembangan Adam (abang) dan Ahmad (adik), jika ada sedikit saja kelainan dia akan membelek-belek buku perubatannya, membuat catitan, kemudian telefon kawan-kawan beliau yang pakar tentang kanak-kanak. Ada ketika dia terus membawa anak-anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Anak-anaknya menjadi bahan kajiannya bagi mendapatkan ilmu.

Sikap ingin tahu perlu dilatih sejak kecil, pengalaman saya dengan Abdul Jabbar ialah sejak kecil lagi kami mengesan kebolehannya melalui pemerhatian kami. Beliau sudah boleh membaca sejak umur lima (5) tahun, ibunya menggunakan kaedah tertentu untuk membolehkan dia membaca dan dekat dengan buku sejak awal lagi. Banyak perkara yang beliau selalu lakukan sendiri dan cepat. Mengambil pengalaman dengan melakukan sendiri melalui kaedah “cuba jaya” sangat berguna asalkan tidak membahayakan diri sendiri.

Mengikut sahaja apa yang orang kata adalah sangat membahayakan diri dan juga masyarakat. Apabila ditanya apakah dasarnya kamu mengambil tindakan ini? Mereka akan menjawab si polan dan si polan kata atau buat. Berhati-hatilah dengan setiap perkataan yang diucapkan atau ditulis kerana kita dilarang daripada mengikut orang yang hatinya telah dilalaikan oleh Allah s.w.t., dan (lagi) mereka menuruti hawa nafsu. Walau pun orang berkata itu sangat berpengaruh dan mempunyai kuasa yang besar. Kita mesti takut kepada Allah daripada takut kepada manusia.

Marilah kita menggunakan panduan yang Allah berikan dan dengan menggunakan akal yang dibekalkan Allah kepada kita, Insya Allah hidup kita akan selamat dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment