Saturday, 27 August 2011

Cara mengingati peristiwa lama

Pastinya anda ingin ingat peristiwa lama yang membawa seribu kenangan manis. Juga, saya pasti anda ingin melupakan peristiwa sedih yang mungkin membawa seribu derita. Namun dalam kedua-dua episode suka dan duka mempunyai nilai pengajaran yang tersendiri.

Gambar, foto atau potret merupakan media sejarah yang dapat mengingatkan kita kepada segala peristiwa lama, ditambah dengan kata-kata hikmat, “a picture worth a thousand words”. Jadi, jangan sekali-kali anda memusnahkan sebarang gambar, foto atau potret kerana setiap gambar, foto atau potret mempunyai seribu perkataan yang tersembunyi di dalamnya. Bayangkan jika anda mempunyai 1,000 gambar, foto atau potret, sebenarnya anda sudah mempunyai 1 juta perkataan yang tersembunyi di dalamnya dan melalui 1,000 keping gambar, foto atau potret anda sudah boleh menghasilkan 7 buah novel atau buku yang mempunyai lebih kurang 300 halaman tiap satu novel atau buku itu.

Pernah satu ketika ada anak saya ingin membuang bukunya ke dalam tong sampah untuk dimusnahkan, saya tidak suka dia berbuat demikian kerana dia sudah ingin memusnahkan ilmu. Saya arahkan dia menyimpan kembali buku-buku dan jika sudah tidak mahu berikan kepada mana-mana perpustakaan. Berdasarkan semangat bahwa setiap buku yang dihasilkan si pengarang sudah pasti merujuk kepada berpuluh-puluh buku lain atau dia telah berusaha untuk mengingati kembali pengalaman lama beliau yang bertahun-tahun pernah dilaluinya. Saya ingin mengajar dia menghargai ilmu dan menghargai usaha orang lain.

Jadi jangan sekali pandang remeh kepada sekeping gambar, foto atau potret kerana tiap satunya akan mengingatkan anda kepada sebarang peristiwa lama baik sedih atau gembira. Dengan menghargai tiap satunya sebenarnya anda sedang mensyukuri nikmat Allah yang telah diberikan kepada anda. Peristiwa sedih boleh dijadikan tauladan dan sempadan. Peristiwa manis boleh dijadikan kenangan yang menenangkan jiwa sanubari anda.

Lakukan coretan berdasarkan gambar, foto atau potret yang anda ada. Saya pasti anda akan hidup gembira sepajang masa. Jangan sekali-kali meremehkan bakat anda dalam menulis kerana kerja menulis, membaca dan berkongsi pengalaman adalah kerja mulia yang pernah dilakukan para ulama tersohor. Jika tidak, kita tidak akan dapat khazanah ilmu yang begitu berharga sehingga kini.

Walau pun Imam Nawawi hanya dapat hidup di dunia ini selama 40 tahun, namun beliau telah berupaya menghasilkan sekurang-kurangnya 40 volum karangannya untuk tatapan kita kini. Imam Al-Bukhari hidup selama 62 tahun, namun hadith shahehnya dipakai hingga sekarang ini. Begitulah sumbangan imam-imam yang lain yang sangat berjasa kepada keagungan keilmuan Islam zaman silam, apakah kita hanya ingin perkara itu menjadi sejarah saja?

Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengimarahkan keilmuan Islam dengan banyak membaca, menulis, menyelidiki, berbincang, berdiskusi dan sebagainya supaya ilmu tetap berkembangan sepanjang zaman. Jika Allah akan memberi kefahaman kepada sesiapa pun, Dia akan memberikan kefahaman terhadap agama terlebih dahulu.

Jadi, hargailah gambar, foto atau potret yang anda ada dan gunakannya untuk mengingat masa lampau dan mula menulis kembali masa lampau itu dalam bentuk teks yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang. Jika anda berpendapat anda tidak boleh menulis, maka anda sudah pasti meremehkan kebolehan anda kerana bakat penulisan boleh dipelajari dan Insya Allah melalui kesungguhan dan tekad anda yang jitu anda akan dapat menguasai penulisan.

Tulislah apa saja yang anda minat kerana aliran keluar idea akan bergantung kepada minat seseorang dan tanpa dipaksa anda akan boleh menulis. Mungkin boleh diamalkan dengan satu azam, “menulis sekurang-kurangnya satu artikel setiap hari yang panjangnya 500 perkataan” akan dapat membuat anda seorang pengarang buku atau novel dalam masa setahun kerana 500 perkataan dengan langkau sebaris menghasilkan 1 halaman dan selama 1 tahun anda akan menulis 365 halaman yang menjadikan piawai sebuah novel atau buku.

Lakukan azam anda itu setiap hari mulai hari ini juga.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Ogos 2011

Tuesday, 23 August 2011

Menetapkan haluan sendiri berdasarkan ilmu


Zaman akhir-akhir ini ramai manusia yang terkeliru. Mereka terkeliru dalam berbagai-bagai aspek. Ada yang terkeliru memilih pasangan hidup. Diharapkan yang sesuai namun beberapa ketika kemudian bercerai berai. Terkeliru memilih kerjaya dan akhirnya kecundang. Keliru merupakan satu istilah yang menggambarkan “ketidakpastian” seseorang dalam membuat pilihan. Kekeliruan ini timbul kerana kurangnya ilmu pengetahuan.

“…. Janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan (lagi) menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Al-Kahfi (18), ayat 28).

Kita dilarang mengikuti orang yang Allah lalaikan dari mengingatiNya dan mereka yang menurut hawa nafsu. Jelas sekali ayat di atas memberikan kita panduan untuk mengambil Al-Quraan dan Hadith sebagai panduan selama-lamanya dan mereka yang tidak berpegang kepada dua sumber itu tidak boleh diikuti. Kemudian ada satu syarat lagi sesudahnya iaitu “dan (lagi) menurut hawa nafsunya”. Juga mereka yang menurut hawa nafsu walau pun mereka mendakwa mengikuti kedua-dua sumber tersebut di atas.

Pertimbangan kita mestilah mempunyai dasar Al-Quraan, Al-Hadith shoheh, ijmak ulama dan menggunakan akal yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Jika kita mengambil keputusan berdasarkan fakta-fakta di atas, maka Insya Allah kita akan terhindar dari kekeliruan.

Ada berbagai cara mencari ilmu antaranya yang paling mudah ialah bertanya kepada yang berilmu (Al-Anbiyaa, ayat 7). Pernah pada suatu ketika dalam suatu ceramah seorang Ustaz ditanya tentang berapa keping roti canai dapat dihasilkan daripada satu kilogram tepung gandung. Ustaz meminta izin beberapa minit dan turun ke tingkat bawah dewan ceramah dan bertanya kepada restoran di tingkat bawah tempat beliau berceramah mengenai hal di atas. Akhirnya Ustaz dapat menjawab dengan yakin sebab dia telah bertanya kepada pakar pembuat roti canai.

Cara lain mencari ilmu ialah dengan membaca, membuat penelitian, mengkaji sendiri, membuat observasi dan sebagainya. Pada 17 Ogos 2011 yang lalu yang bertepatan dengan hari Nuzul Al-Quraan, Hari Kemerdekaan Indonesia, anak saya Dr Abdul Jabbar mendapat anak kembar. Dinamakan Adam dan Ahmad. Saya memperhatikan beliau begitu sibuk mengamati perkembangan Adam (abang) dan Ahmad (adik), jika ada sedikit saja kelainan dia akan membelek-belek buku perubatannya, membuat catitan, kemudian telefon kawan-kawan beliau yang pakar tentang kanak-kanak. Ada ketika dia terus membawa anak-anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Anak-anaknya menjadi bahan kajiannya bagi mendapatkan ilmu.

Sikap ingin tahu perlu dilatih sejak kecil, pengalaman saya dengan Abdul Jabbar ialah sejak kecil lagi kami mengesan kebolehannya melalui pemerhatian kami. Beliau sudah boleh membaca sejak umur lima (5) tahun, ibunya menggunakan kaedah tertentu untuk membolehkan dia membaca dan dekat dengan buku sejak awal lagi. Banyak perkara yang beliau selalu lakukan sendiri dan cepat. Mengambil pengalaman dengan melakukan sendiri melalui kaedah “cuba jaya” sangat berguna asalkan tidak membahayakan diri sendiri.

Mengikut sahaja apa yang orang kata adalah sangat membahayakan diri dan juga masyarakat. Apabila ditanya apakah dasarnya kamu mengambil tindakan ini? Mereka akan menjawab si polan dan si polan kata atau buat. Berhati-hatilah dengan setiap perkataan yang diucapkan atau ditulis kerana kita dilarang daripada mengikut orang yang hatinya telah dilalaikan oleh Allah s.w.t., dan (lagi) mereka menuruti hawa nafsu. Walau pun orang berkata itu sangat berpengaruh dan mempunyai kuasa yang besar. Kita mesti takut kepada Allah daripada takut kepada manusia.

Marilah kita menggunakan panduan yang Allah berikan dan dengan menggunakan akal yang dibekalkan Allah kepada kita, Insya Allah hidup kita akan selamat dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 Ogos 2011.